Tuesday, February 12, 2008
+..Perempuan Melayu Terkini..+
Tentang habit atau tingkah laku perempuan Melayu Malaysia terkini. Maaf. Aku tidak mahu menyusahkan otak berfikir mengenai Orang Melayu di Singapura atau Brunei, atau Indonesia sekalipun. Cuma di tanahairku. Kenapa terkini? Mungkin dalam masa dua tahun lagi, trend atau habit ini akan berevolusi menjadi sesuatu yang lebih baru, lebih canggih dan lebih ke depan (breasts implant?) Mungkin pada perempuan perempuan yang vain sahaja...
Tapi ini apa yang aku sebagai perempuan juga alami dan lakukan:-
1. Lebih banyak membaca
Kini bukan saja perempuan suka membaca mengenai trend fesyen terkini, bagaimana menghangatkan lagi hubungan (isi tempat kosong, ye!), resipi masakan terpantas disediakan di dapur atau segalanya tentang perempuan, malahan bagi mereka yang sukakan pemikiran yang lebih mendalam suka membaca mengenai politik, buku-buku motivasi, self help (Seperti Why Men Married Bitches) dan pelbagai lagi genre buku yang lebih *berat* isi kandungannya. Tidak.
Perempuan jenis ini bencikan buku bergenre romantis atau berbaur seksual fantasi. Selalunya perempuan begini lebih sukakan struktur bahasa yang lebih realis, seperti buku chic lit (walaupun bahasa yang tidak begitu kompleks, tetapi wanita realis sukakan buku begini - lebih dekat dengan kehidupan sebenar mereka). Malahan aku berani mengatakan bahawa habit ini dibawa bersama ketika perempuan perempuan ini ke tandas. Mungkin agak ekstrim pada yang melihatnya dari konteks berbeza, tapi pada aku, lebih baik aku menghabiskan masa yang agak lama di tandas dengan membaca. (Malahan, jika terdapat brosur pun akan kubelek!)
2. Kepimpinan Tinggi
Ini trend yang semakin aku lihat semakin kerap terjadi dan kerap dipraktiskan oleh kebanyakan organisasi. 10 tahun yang dulu, mungkin kita lihat ia sesuatu yang pelik. Aku pasti masih terdapat lelaki yang berkepimpinan tinggi dan mempunyai visi, misi dan segala sisi lagi. Tapi ada juga lelaki yang hanya mampu angguk angguk geleng geleng yang menjadikan mereka kalah kepada kedudukan perempuan yang lebih hebat seperti sahabatku Gemma dan MD ku, Datok M dan Datuk Bank Negara dan ramai lagi perempuan perempuan hebat yang anda semua boleh google sendiri. Perempuan begini, jarang berfungsi melalui emosi tipikal perempuan yang cepat meroyan dilanda PMS yang hebat. Jauh sekali mahu berperangai seperti makcik makcik di kampung bergebang tepi pagar dan mengumpat hal jirang sebelah. Jauh sekali ye, encik encik dan cik puan cik puan sekalian!
3. Masuk Universiti
Trend ni aku lihat sejak zaman 1993 lagi. Entah kenapa spesis lelaki Melayu yang bijak akademik semakin menipis. Malah kuota pengambilannya dilebihkan di mana sahaja, baik di sekolah berasrama penuh, di Universiti, malahan diorganisasi juga!
Ke mana agaknya lelaki lelaki Melayu ini pergi? Mari aku senaraikan kemungkinannya
i. Di PEMADAM
ii. Di atas jalanraya menjadi Budak Penghantar Surat/ Makanan Segera
iii. Di dalam penjara
iii. Di dalam 7 kaki dalam tanah, kerana meninggal dunia akibat 3 perkara di atas.
4. Kahwin Lambat
Trend ini hanya digunapakai oleh perempuan perempuan yang bercita-cita tinggi. Tak semestinya perlu berpelajaran tinggi, tapi bercita-cita tinggi. Tidak kiralah sama ada perempuan itu pendek dan mahu bercita-cita menjadi tinggi atau terlalu memilih calon suami yang perlu kaya, tinggi dan hensem (tak sedar diri kah?)
Maksud aku, perempuan yang tidak mahu tunduk kepada tekanan makcik makcik dan kawan kawan perempuan lainnya untuk bernikah disebabkan faktor umur. Kamu harus bernikah pada umur 25 tahun kerana pada waktu itu, anda di peringkat yang paling subur. Kamu harus bernikah sebelum umur 30 kerana lelaki takut akan wanita tua. Kamu harus bernikah kerana itu trend kawan kawan perempuan lain. Kamu harus itu dan ini kerana kamu semakin tidak laku, orang tua mahukan cucu...bla di bla...(Sebenarnya ramai perempuan yang mahu berkahwin begini dan begitu, kerana itulah impian mereka sejak anak dara sunti, sebuah pernikahan indah bagai di syurga layaknya! Bukan mahukan sebuah perkahwinan yang diberkati kerana LELAKI itulah calon yang terbaik menjadi suami mithali)
Heh! Mereka ini (yang suka memberi tekanan yang tidak perlu/ tidak relevan) tidak nampakkah, perempuan yang hot dan bijak seperti isteri Raja Nazrin itu kahwin lewat? Lihat saja CVnya...sangat impresif pada aku. Dia bukan perempuan hodoh. Jauh sekali perempuan yang gemuk. Perempuan begini selalunya kuat mandiri. Sudah ada rumah dan kereta sendiri. Apatah lagi simpanan dan saham yang banyak! Jadi, tidak ada alasan mahu bernikah atas faktor suami PERLU beri nafkah, kerana dia tidak dapat hidup mandiri!
Malah, aku tidak hairan jika mereka sanggup bermadu, kerana bagi mereka ini, lebih mudah kerana ia memberi ruang *bernafas* bagi mereka bekerjaya, pulang lewat tanpa perlu terkocoh kacah memasak untuk suami. Lebih bagus pada mereka kerana mereka tidak merampok harta kekayaan suami (jika ada) atau masa suami itu direbutkan...Suka hati aku lah. Aku punya pandangan, kan? Bukan dia nak rampas pun. Lagipun, siapa kita mahu kata suami itu milik kita? Tidak. Betulkan tanggapan Melayu totok dan drama swasta Melayu anda. Suami adalah hak AlLah. Kita hanya meminjam mereka. NOKTAH.
Suami merupakan satu cara menyambung institusi kekeluargaan, generasi akan datang, meluruskan yang tidak betul. Bagi aku, suatu paradigma lain bagi seseorang dengan definisi perkahwinan yang berbeza. Bukan definisi perkahwinan zaman tok nenek, di mana perempuan perlukan lelaki sebagai pemberi nafkah, dan perempuan sebagai kilang membuat anak semata!
Sebab itu, bukan mudah mencari seorang suami (untuk aku). Suami itu perlu seseorang yang benar-benar mempunyai sifat kepimpinan dan berilmu (berakal). Hendak cari kekasih hati, memang sangat mudah!
6. Memandu ala Lelaki
Ini bukan cara memandu dengan cara gampang. Maksud aku, suka membawa laju tak tentu hala dan berlumba haram di pagi hari seraya menyerang selekoh tajam seperti aku. Kanak-kanak: Jangan tiru macam aku, ya!
Memandu ala lelaki ialah perempuan yang tahu destinasi yang ditujunya. Rancangannya sebelum dia pergi ke mana-mana telah dirancang di dalam minda. Kalau boleh GPS itu semua sudah lengkap di dalam tangan. Tidak terhegeh-hegeh dan tidak pula kelam kelibut. Tenang di jalan raya serta tidak mudah panik jika berlaku sesuatu yang tidak seronok pada keretanya. Misalan: Suhu kereta naik mendadak. Apa yang dia lakukan adalah tenang dan lepak sebentar di tepi jalan menunggu radiator sejuk. Barulah dilakukan tindakan seterusnya. Tak perlu lagi menjadi seorang Damsel di dalam keadaan sengsara (Terjemahan lateral aku)
7. Berfikiran Jauh
Perempuan sebegini adalah perempuan berwawasan. Selalunya mereka malas memikirkan soal remeh temeh. Bagi mereka ini, suka berfikiran makro menerobos 2, malah 5 tahun sekali. Perempuan begini selalunya berkait dengan perempuan bercita cita tinggi kerana mereka boleh menjadi seorang pemimpin yang hebat. (Surirumah pun pemimpin yang hebat pada anak-anak).
Tapi aku rasa tidak ramai yang berfikiran jauh. Selalunya soal suami pun perlu difikirkan, jika suami sakit dalam masa 5 tahun, adakah dia bersedia menghadapi segala kemungkinan, kewangan? Anak-anak? Apa yang dia perlu lakukan agar anak yang dikandungnya menjadi seorang khalif yang diredhai kelak? Semua itu sudah terbayang dan dirancang...cuma rancangan manusia ini, ditentukan AlLah...asbab kita merancang awal, usaha kita, AlLah akan tentukan pula sebab dan natijah yang Dia kehendaki.
8. Mandiri
Perempuan begini selalunya suka mengharung cabaran pahit getirnya sendiri. Suka rasa dicabar untuk lebih maju lagi. Sukakan cabaran. Jika ada manusia yang mengaku dia rasa tergugat dengan kehadiran perempuan begini, maka ia merupakan satu pujian alaf baru bagi perempuan tersebut. Seolah-olah memuji bahawa perempuan itu paling cantik di dunia ini. Begitulah perasaannya.
Tapi jangan pandang rendah pada perempuan begini. Ia seolah-olah seperti satu tamparan bahawa perempuan merupakan manusia lemah yang SENTIASA perlu dibantu. Suatu penghinaan terus yang memungkinkan kaum lelaki yang membaca ayat ini rasa tercabar ego mereka. Tidak. Bukan kami tidak perlukan lelaki. Tapi cuba beri bantuan jika kami minta. Bukan pada apa yang kami tidak perlukan, ya!
Perempuan ini akan menolak jika ditawar bantuan. Dia akan cuba dengan cara dan kaedah lain dahulu untuk membuktikan yang dia boleh melakukan. Jika dirasakan cara dan kaedah orang yang memberi bantuan itu lebih bagus, barulah perempuan jenis ini akan mengalah.
Kadang kadang, perempuan hanya perlukan pandangan dari kaum lelaki. Motivasi. Itu saja. Kita gosok belakang anda, anda pula gosok belakang kami (terjemahan lateral). Bayangkan jika anda punya pasangan seorang perempuan bercita-cita tinggi, tidakkah secara teori dominonya, anda juga akan bercita-cita tinggi bagi menyuap ego sendiri? Akan kelihatan lemahlah seseorang lelaki itu, jika perempuannya lebih bagus, lebih maju, lebih kaya, lebih cantik dan lebih yang macam macam daripada lelaki itu. Nampak dia kelihatan seperti seorang sissy. Hehehehe...
Tapi lagi sekali, suka hati akulah, kan? Ini pandangan aku. Kamu pun ada pandangan kamu.
Pssst: Aku menulis atas pengalaman. Bilamana aku mengatakan hasrat untuk begini dan begitu pada Boe tercintaku semalam, dia pula mengatakan bahawa dia ditawarkan menjadi Pengurus Besar jauh di Utara!! Arghhh...Bagaimana aku nanti? Bagaimana dengan cintaku?
Yang pasti, kami tahu aku cinta dia dan dia cinta aku. Jangan pula nak mengamuk persoalkan kenapa kami masih tidak bernikah! Banyak lagi faktor lain yang perlu kami selesaikan sebelum Allah izinkan jodoh aku memang dengannya! Fahamkah? Kalau tak faham, maknanya gelombang minda kamu masih belum sama dengan gelombang minda aku. Tak perlu aku bagi alasan satu persatu.
Sekian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment